03 August 2011

Peralatan buat kek lapis Sarawak guna bahan tak halal perlu disamak




KUCHING 3 Ogos – Pengusaha kek lapis yang pernah menggunakan mentega “Golden Churn Creamy Butter” yang kini didapati mengandungi DNA babi perlu membersihkan peralatan membuat kek tersebut mengikut kaedah Islam.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman berkata, pembersihan tersebut atau “menyamak” perlu dilakukan bagi memastikan produk tersebut selepas ini halal dari peringkat pembuatan sehingga dijual ke pasaran terbuka.
Sekarang sudah sah mentega itu haram. Sesiapa yang pernah menggunakannya perlu samak segala peralatan yang pernah digunakan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) berjumlah RM51,286 kepada 35 penerima di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi kek lapis yang diiktiraf halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), pengusahanya tidak perlu menggunakan kaedah pembersihan tersebut.

Daud berkata, pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Sarawak telah diminta supaya menarik balik iklan yang diletakkan oleh premis perniagaan yang memberi jaminan bahawa produk mentega tersebut adalah halal. – Bernama