Elin Nordegren Bekas model Sweden sengsara |
Elin memberitahu majalah People, beliau dan Woods cuba selama beberapa bulan untuk menyambung kembali hubungan mereka. Bagaimanapun katanya, perkahwinan ‘tanpa rasa percaya dan cinta’ tidak membawa kebaikan kepada sesiapa. November tahun lalu, di luar rumah mereka di sini, Woods merempuh pili bomba dan pokok sekali gus mencetuskan pendedahan mengejutkan bahawa bintang sukan terkenal itu curang dengan isterinya menerusi pelbagai hubungan. Pasangan itu bercerai secara rasmi Isnin lalu.
Elin memberitahu People, beliau tidak pernah memukul Woods pada malam insiden kemalangan terbabit.
“Tiada apa-apa keganasan berlaku di dalam atau luar rumah kami.
“Spekulasi bahawa saya menggunakan kayu golf untuk memukulnya tidak masuk akal,” katanya. Elin berkata Woods meninggalkan rumah mereka malam itu dan tidak kembali menyebabkannya bimbang.
“Saya mencari dan menemuinya dalam kereta. Saya melakukan segala-galanya untuk mengeluarkannya dari kenderaan berkunci itu. Memikirkan sesuatu yang lain adalah salah sama sekali,” katanya.
Menurut majalah itu, temuramah berkenaan dilakukan selama 19 jam di rumah sewa Elin di sini, rumah yang didiaminya bersama dua anak mereka.
“Saya melalui kesengsaraan. Agak sukar untuk memikirkan anda memiliki kehidupan seperti ini dan kemudian secara tiba-tiba mendapati ia satu penipuan?
“Anda berusaha untuk menanganinya kerana ia tidak benar. Namun saya masih kuat. Ia agak sukar, namun ia tidak membunuh saya,” katanya.
Dalam satu temuramah rancangan Today terbitan NBC pagi kelmarin, pemberita majalah People, Sandra Sobieraj Westfall berkata Elin menawarkan diri untuk diwawancara majalah itu. – Agensi
Post a Comment