03 May 2011

Apa Itu Tariqat??


 (Wa in la wis taqa mu ala tariqati la as qaina humma an ghadaqa)
Wallahu alam.

       Berdasarkan ayat Quran di atas, tariqat itu ertinya jalan, jalan yang benar. Jalan petunjuk dalam melakukan sesuatu ibadat sesuai dengan ajaran yang ditentukan dan dicontohkan oleh Rasulullah (saw) dan dikerjakan oleh para sahabat dan tabi’in, turun-temurun sampai kepada guru-guru, sambung-menyambung dan rantai-berantai. Syariat itu merupakan peraturan, tariqat itu merupakan pelaksanaan, haqiqat itu merupakan keadaan, dan ma’rifat itu adalah tujuan yang terakhir. Dengan lain perkataan, sunnah harus dilakukan dengan tariqat, tidak cukup hanya keterangan daripada Nabi (saw) saja. Yang melihat perbuatan baginda (saw) itu adalah para sahabat, yang menceritakan kembali kepada murid-muridnya, iaitu tabi’in, yang menceritakan pula kepada pengikutnya, iaitu tabi-tabi’in dan selanjutnya sebagaimana yang dituliskan dalam Hadis dan kitab-kitab ulama.

       Imam Malik (ra) mengatakan bahawa barangsiapa mempelajari fiqh saja dan tidak mempelajari tasawuf, maka dia fasik; dan barangsiapa mempelajari tasawuf saja dengan tidak mengenal fiqh, maka dia zindiq. Dan barangsiapa mempelajari serta mengamalkan kedua-keduanya, maka ia itulah mutahaqqiq, iaitu ahli haqiqat yang sebenarnya.

Tariqat itu merupakan bahagian terpenting daripada pelaksanaan tasawuf atau juga dikenali sebagai tazkiyat al-nafs. Mempelajari tasawuf dengan tidak mengetahui dan melakukan tariqat merupakan suatu usaha yang hampa. Dalam ajaran tasawuf diterangkan bahawa syariat itu peraturan, tariqatlah yang merupakan perbuatan untuk melaksanakan syariat itu. Tariqat merupakan azimah (dorongan) kepada syariat. Dalam perkataan yang lain, tariqat memberi kekuatan kepada sesorang melakukan syariat. Apabila syariat dan tariqat ini sudah dapat dikuasai, maka lahirlah haqiqat yang tidak lain daripada perbaikan keadaan atau ehwal. Tujuan terakhir ialah ma’rifat iaitu mengenai dan mencintai Tuhan dengan sebaik-baiknya.
Sheikh Nazim (qs) memberi kiasan yang cantik untuk menerangkan kedudukkan syariat, tariqat, haqiqat dan ma’rifat. Beliau berkata, “Syariat ialah lautan dan tariqat ialah kapal (nakhoda kapal merupakan sheikh tariqat). Apabila kita menaiki kapal dalam pelayaran di atas lautan, kita akan sampai ke pantai – Pantai Kebenaran, Pantai Haqiqat. Tanpa lautan kapal tidak boleh belayar. Apa ertinya kapal tanpa lautan? Kalian mahu memikulnya? Sekiranya kalian hendak berenang, kalian akan tenggelam. Berenang tidak sesuai untuk menyeberangi lautan yang begitu besar. Kalian hendak berenang dan tenggelam atau mahu naik kapal dan sampai ke tempat yang ditujui? Naiklah kapal kalau sudi.

       Jadi syariat dan tariqat itu tidak lain daripada mewujudkan perlaksanaan ibadat dan amal, sedang haqiqat itu memperlihatkan ehwal dan rahsia tujuannya, dan apabila rahsia ini sudah kita kenal, maka kita perolehi ma’rifat, kenal dengan sebenarnya Penciptanya – Allah.

      Allah berfirman, “Katakanlah, seandainya mereka perpegang kepada jalan yang benar, Kami akan beri mereka minuman air yang jernih yang berlimpahan.” Surah 72:16